TVET rapat jurang ekonomi

Posted by
Share this...
Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on Twitter

Bidang Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) berpotensi menjadi jalan penyelesaian terbaik merapatkan jurang kemahiran dalam bidang ekonomi pada abad Ke-21 yang masih berlaku di rantau Asia Pasifik.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Malaysia yakin TVET adalah strategi berkesan mengatasi perbezaan dalam pertumbuhan pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

Sehubungan itu, katanya, selaras trend semasa penawaran dan permintaan dalam bidang teknikal berkenaan, strategi inovatif untuk pembangunan kemahiran perlu digubal bersama dalam kalangan negara rantau itu untuk memastikan ia berfungsi meningkatkan ekonomi generasi masa depan.

“Sejak 30 tahun lalu, pasaran dan ekonomi di seluruh dunia menjadi lebih bersepadu dan semua negara saling memerlukan. Perubahan dalam amalan perniagaan dan teknologi sentiasa berkembang, sekali gus mewujudkan permintaan untuk pekerjaan yang memerlukan kemahiran dan pengetahuan baharu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Asia Pasifik Bagi Pendidikan dan Latihan 2015 (ACET 2015), semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Tenaga kerja global

Idris berkata, kajian menunjukkan pada tahun 2030 tenaga kerja global akan meningkat kepada 3.5 bilion dan dijangka berlaku permintaan 40 juta pekerja berkemahiran tinggi tetapi berlaku kesukaran mengisi jawatan ditawarkan.

Dalam sidang media kemudian, Idris berkata, Malaysia bersama negara lain di rantau Asia Pasifik terus memperkukuhkan TVET dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, dalam konteks Malaysia bidang itu antara diberi penekanan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 untuk memperkukuhkan pendidikan teknik dan vokasional selaras perkembangan ekonomi dan teknologi semasa.

“TVET antara bidang berdaya saing, antara contoh kejayaannya adalah melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri minyak dan gas sehingga lepasan bidang itu pada peringkat sijil mampu memperoleh pendapatan bulanan RM3,000 hingga RM4,000 mengatasi graduan universiti,” katanya.

Sumber: bharian.com.my

Share this...
Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on Twitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *