Tekanan keterlaluan boleh jejaskan mental pelajar

Posted by
Share this...
Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on Twitter

Pelajar yang mengalami tekanan keterlaluan akan menjejaskan prestasi pembelajaran dan mendatangkan kesan negatif terhadap keadaan mental mereka.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata tekanan akibat faktor persekitaran serta desakan ibu bapa untuk mengikuti pengajian tidak diminati pelajar, boleh menyebabkan keadaan mental mereka tidak stabil dan kurang keyakinan diri.

“Jika keadaan mental pelajar itu ‘tercetus’, mereka boleh mendapat sakit mental.

“Terdapat kejadian seorang remaja dimasukkan ke hospital sakit jiwa akibat terlalu tertekan dan terpaksa melalui proses pemulihan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kejadian pelajar yang dikatakan mengalami tekanan kerana mengikuti kursus pengajian yang tidak diminati atas desakan ibu bapa.

Noor Azimah berkata anak-anak perlu diberi ruang untuk membuat keputusan dalam memilih bidang pengajian yang ingin diambil.

“Pelajar yang sudah berumur 18 tahun ke atas sudah boleh membuat keputusan sendiri. Komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak amat penting, kedua-dua pihak perlu mempunyai minda terbuka dan percaya antara satu sama lain,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Zainal Madon berpendapat pemilihan bidang pengajian sewajarnya berdasarkan minat pelajar itu, selain personaliti, minat, nilai dan keputusan akademik mereka.

“Pelajar akan hilang motivasi dan kurang cemerlang apabila dipaksa untuk mengambil bidang pengajian yang tidak selari dengan minat dan personaliti mereka.

“Adakalanya anak belajar hanya untuk puaskan hati ibu bapa. Mereka akan beralih kepada bidang atau kerjaya lain yang diminatinya selepas tamat pengajian.

“Ibu bapa perlu bantu dan bertindak sebagai fasilitator dalam memudahkan pemilihan bidang pengajian atau kerjaya anak-anak mereka. Keputusan akhir mengikut minat anak, ibu bapa perlu hormat dan memberi sokongan,” katanya.

Sumber: Bernama

Share this...
Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on Twitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *