11 Snek Yang Paling Best di Kelantan

Posted by
Share this...
Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on Twitter

Snek yang paling best di Kelantan bagi anda yang tidak pernah berkunjung ke Kelantan akan didedah kepada anda dalam penulisan ini. Kata orang, tak lengkap berjalan ke sesebuah tempat atau negeri baru tanpa merasai makanan yang ada di tempat mereka kerana lain tempat, lain budayanya lantas sedikit sebanyak turut mempengaruhi makanannya. Sebagai contoh, negeri Sabah berada di kepulauan menjadikan mereka terkenal dengan makanan lautnya yang segar dan murah. Berbeza dengan  negeri-negeri lain, Kelantan lebih terkenal dengan makanan yang manis belaka, baik kuih,mahupun lauk-pauk itu juga!

Selain kuih-muih dan lauk-pauk, terdapat juga snek yang anda mungkin belum pernah jumpa di tempat lain kecuali di negeri ini dan berikut merupakan beberapa jenis snek yang anda wajib cuba (atau bawa pulang) apabila anda datang berkunjung ke Kelantan.

Snek 1 – Celagi Masam Manis


Kredit: blogspot.com

Sesuai dengan namanya, celagi masam manis sememangnya mempunyai rasa masam, manis dan sedikit pedas. Selalunya dijual di kedai-kedai runcit dan pasar-pasar di setiap daerah di Kelantan, anda akan mendapati celagi masam manis mempunyai kaedah pembungkusan yang agak unik (dan comel, mungkin?) kerana dibalut menggunakan plastik lutsinar seperti gula-gula biasa, namun secara tiga sekaligus secara berturutan. Celagi masam manis lazimnya dijual dalam satu pek (berisi 20-30 biji) yang berharga sekitar RM1.50.

Snek 2  – Kuih Bapan/Bepe


Kredit: puteri88.blogspot.com
Kuih bapan atau disebut sebagai ‘bepe’ oleh rakyat Kelantan merupakan sejenis snek yang ringkas tetapi sedap. Terdapat dua jenis kuih bapan iaitu bapan beras dan bihun. Secara ringkasnya, kuih ini diperbuat daripada beras (atau bihun) yang digoreng dalam minyak yang banyak dan digaul bersama gula Melaka yang dicairkan. Kemudian, beras ataupun bihun ini akan dijadikan dalam bentuk bebola sebelum mengeras pada suhu bilik. Kemudian, terhasillah snek yang manis dan rangup dikunyah!

Snek 3 – Jering Rebus


Kredit: blogspot.my

Jika jering selalunya dijadikan ulam untuk dimakan bersama nasi, jangan terkejut sekiranya jika anda ke Kelantan dan mendapati bahawa jering turut dijadikan sebagai snek!

Hanya jering tua yang digunakan untuk dijadikan jering rebus dan jering tersebut bukan sekadar direbus bersama air sahaja sebaliknya terdapat beberapa petua untuk merebus jering bagi dijadikan makanan ringan. Antara petua yang digunakan adalah dengan menukar air rebusan sebanyak 2 hingga 3 kali sebelum menambah daun kunyit, akar pokok kelapa dan sedikit abu dapur ke dalam air rebusan yang terakhir. Setelah siap direbus, jering akan dihidangkan bersama kelapa parut yang digaul bersama sedikit garam dan gula. Terdapat juga yang menumbuk terlebih dahulu jering tersebut sebelum dimakan bagi menjadikan isinya lebih sedap. Rasanya agak lemak dan seperti buah berangan atau kekacang yang direbus.

Snek 4 – Sema/Kuih Tepung Sema


Kredit: mrschomot.blogspot.my

Sema ataupun kuih tepung sema turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti kuih gula tarik, slemang (dialek Terengganu), dan kuih semak dalam mulut. Kuih ini merupakan salah satu snek tradisional Kelantan dan proses untuk membuat sema sebenarnya agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi. Gula Melaka akan dimasak dalam air mendidih sehingga cair dan kemudiannya diangkat lalu ditarik menggunakan dua batang buluh yang leper ke atas lapisan tepung yang telah digoreng dan diayak (proses pembuatan kuih ini seperti membuat mi wantan).

Gula tersebut kemudiannya akan ditarik sehingga menjadi nipis dan halus seperti bihun. Proses tersebut akan diulang sehingga beberapa kali. Sema selalunya dihasilkan berwarna-warni seperti merah/merah jambu, kuning dan hijau dan banyak dijual di pasar mahupun kedai-kedai runcit di Kelantan. Kanak-kanak (ataupun golongan dewasa) pasti akan menggemari sema kerana teksturnya yang begitu halus sehingga cair di dalam mulut.

Snek 5 – Keropok Segera


Kredit: sohorkelate.blogspot.my

Kunjungan anda ke Kelantan tidak akan lengkap tanpa mencuba dan membawa pulang keropok segera sebagai buah tangan. Terdapat dua jenis keropok segera iaitu jenis biasa dan juga sira. Berbanding keropok keping biasa yang perlu digoreng terlebih dahulu, keropok segera telah siap dipek dan boleh terus dimakan. Meskipun rupa kedua-dua keropok ini hampir sama, keropok segera mempunyai rasa dan tekstur yang sedikit berbeza berbanding keropok keping biasa. Dijual pada harga RM1.50 ke RM2 satu pek, keropok segera merupakan snek yang cukup digemari ramai.

Snek 6 – Dodol Segitiga 3 Rasa


Kredit: luckybridetobe.blogspot.my

Dodol segitiga banyak dijual di pasar-pasar di Kelantan, malahan tidak keterlaluan jika dikatakan setiap pasar akan wajib menjual dodol segitiga ini. Sesuai dengan namanya, dodol segitiga ini sememangnya dibungkus menjadi bentuk segitiga kecil dan mempunyai 3 warna, coklat untuk perisa gula Melaka, hijau untuk pandan dan kuning untuk perisa durian. Berbanding dengan dodol yang dipek biasa, dodol segitiga lebih mudah untuk dimakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, dan ternyata lebih comel!

Snek 7 – Kerepek Gulung/Kerepek Lipat


Kredit: http://lh6.ggpht.com

Kerepek gulung atau kerepek lipat dimakan pada waktu santai mahupun ketika minum petang. Kerepek ini selalunya dibuat dalam bentuk gulungan mahupun dilipat. Biasanya diusahakan secara kecil-kecilan oleh penduduk kampung, kerepek gulung/lipat boleh dibeli di pasar dan kedai runcit pada harga sekitar RM2.50 sepeket. Rasanya lemak manis dan rangup.

Snek 8 – Lempok/Lepok Durian


Kredit: ecs3.tokopedia.net

Lempok durian merupakan sejenis makanan dari Kelantan yang mempunyai rupa dan proses pembuatan seakan-akan dodol. Namun begitu, kedua-duanya mempunyai rasa yang berbeza. Lempok dibuat dengan cara memasak durian bersama gula biasa atau gula Melaka, daun pandan dan sedikit garam. Kuih ini memerlukan tempoh yang lama untuk dimasak sehingga menjadi likat dan perlu sentiasa dikacau bagi mengelakkan adunan menjadi hangit dan berkerak. Mempunyai rasa lemak manis dan harum buah durian, lempok boleh disimpan untuk tempoh yang lama.

Snek 9 – Keropok Gotae/Keropok Lekor


Kredit: blogspot.com

Selain negeri Terengganu, Negeri Kelantan juga agak terkenal dengan keropok lekor atau lebih popular dikenali dengan nama keropok gotae (gotae bermaksud uli dan gulung) oleh penduduk tempatan. Diperbuat daripada isi ikan, tepung gandum, tepung kanji dan garam, keropok gotae boleh dibeli dalam bentuk mentah mahupun yang telah siap digoreng oleh peniaga-peniaga pisang goreng di tepi jalan (biasanya pisang goreng dan keropok gotea goreng akan dijual bersama). Keropok gotae biasanya dicicah dengan sos lada yang dibuat sendiri, yang mempunyai rasa pedas, masam dan manis.

Snek 10 – Asam Masam Manis


Kredit: blogspot.com

Asam masam manis merupakan sejenis makanan seperti gula-gula yang diperbuat daripada asam jawa, gula dan lada. Asam ini mempunyai gabungan rasa masam, manis dan sedikit pedas yang bersebati serta sedap.  Menariknya, asam masam manis dibungkus  dalam lapisan plastik sebelum dibalut menggunakan kertas pembalut wau yang berwarna-warni. Asam masam manis menjadi kegemaran mereka yang sukakan makanan masam ala-ala jeruk dan asam masin. Harganya juga murah, iaitu sekitar RM1.50 satu paket.

Snek 11 – Ketupat Sotong


Kredit: blogspot.com

Ketupat sotong merupakan snek yang popular dan menjadi kegemaran rakyat Kelantan. Bahan-bahan yang digunakan ialah sotong, beras pulut, santan, gula Melaka dan santan. Sotong dibersihkan terlebih dahulu sebelum disumbat dengan beras yang direndam di dalam santan. Ia kemudiannya dimasak bersama santan, gula Melaka dan daun pandan. Ketupat sotong versi Kelantan berbeza daripada versi Terengganu kerana ia menggunakan gula Melaka berbanding versi Terengganu yang tidak menggunakan gula Melaka dan ditambah halba. Ketupat sotong ini mempunyai rasa lemak, manis dan menyelerakan.
Sebagai negeri yang terkenal dengan selera rakyat yang sukakan makanan manis, tidak hairanlah kebanyakan makanan yang ada di Kelantan mempunyai rasa yang manis. Apabila ada peluang untuk datang bercuti ke negeri Kelantan, jangan lupa untuk mencuba kesemua snek yang ada!

Sumber: www.butterkicap.com

Share this...
Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on Twitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *